EKSPLOITASI
POTENSI DIRI
OLEH : musdiana musa
Semua wanita berpotensi dan mampu menjadi individu
yang hebat dan cemerlang dalam bidang tertentu mengikut kecenderungan serta
kemahiran masing-masing. Walaubagaimanapun, masih ramai wanita di luar sana yang
masih tidak yakin dengan diri sendiri meskipun mereka memiliki segala-galanya
seperti berpendidikan, berbakat, bijak, malah yang tidak berpendidikan tinggi juga
mampu mencapai kejayaan mereka jika tahu mengeksploitasi potensi diri.
Nescaya ramai segelintir wanita masih ragu tentang
kebolehan diri mereka untuk menguruskan kehidupan, kerjaya dan keluarga. Perasaan
ragu-ragu dan kurang berkeyakinan inilah yang sering menjadi punca rasa rendah
diri kaum wanita. Kekurangan keyakinan diri ini turut menjadikan seseorang
individu berasa rendah diri dan tidak berguna berbanding insan lain.
Adakalanya, cabaran atau penyisihan yang dihadapi telah membuatkan para wanita hilang
arah dan secara tidak langsung menerima kekalahan sebagai ketentuan.
Setiap manusia dilahirkan dengan kelebihan tersendiri
, sama ada dicungkil atau memaksa diri untuk menjadi insan yang terbaik.
Berfikiran positif dan semangat adalah resepi penting untuk membuahkan sesuatu
kejayaan. Wanita ibarat permata, keindahan, ketulenan dan kekuatannya tidak
mampu dicabar apatah lagi dicalar malahan nilai dirinya tiada tandingan.
Demikianlah para wanita di luar sana perlu mengenali
diri, menyayangi dan menghormati setiap inci nilai yang dimiliki. Wanita perlu
meneliti di mana punca kelemahan sebelum mampu bergerak mencipta kehebatan
dalam kehidupan.
Imej yang positif mampu membawa kepada kejayaan
dalam kerjaya dan kehidupan seseorang wanita. Jika anda sebagai wanita ingin
serlahkan potensi kepimpinan maka anda perlu bijak menangani dan mengawal
masalah. Setiap penderitaan, keperitan dan kecelaruan emosi yang dilalui perlu
diambil iktibar dan menjadikan ‘luka’ dan keperitan tersebut sebagai panduan, dan
semangat untuk terus memajukan diri dan juga keluarga.
Wanita tidak kira dalam apa jua bidang wajar bangun
dan melawan cabaran dunia yang semakin kompetitif dan kompleks pada hari ini.
Setiap wanita perlu percaya bahawa setiap insan dilahirkan dengan
keistimewaannya yang tersendiri. Mungkin kelebihan seperti pandai menjahit,
memasak, melukis atau menyanyi. Siapa akan tahu jika bukan kita sendiri yang
berusaha mencungkil bakat-bakat dan keistimewaan ini. Oleh itu, keyakinan diri amat penting untuk membina keperibadian wanita pada hari ini. Wanita seharusnya mengorak langkah keluar daripada kepompong kehidupan mereka untuk melalui fasa kehidupan baru, bertenaga, maju dan mengikut arus pemodenan.
No comments:
Post a Comment